
Puan Suzila Omar, seorang usahawan wanita berusia dalam lingkungan 40-an, membuktikan bahawa dengan semangat belajar yang tinggi dan dorongan untuk mencuba perkara baharu, kejayaan pasti dapat dicapai. Sebelum ini, beliau merupakan seorang peniaga kecil-kecilan yang menjalankan perniagaan “Surprise Delivery” dan menghasilkan kraf tangan Decoupage secara sambilan dari rumah.
Segalanya berubah apabila beliau menyertai Kursus Dalam Talian “Ikon Usahawan” bagi sesi Cohort 1 anjuran NADI Pekan Ijok. Sepanjang kursus ini, Puan Suzila bukan sahaja didedahkan kepada asas pemasaran digital, branding perniagaan, dan pengurusan pelanggan, tetapi juga diberi bimbingan untuk mengenalpasti potensi unik dalam diri serta cara memperkukuh jenama perniagaan.
Berbekalkan kemahiran seni halus dan kreativiti yang tinggi, beliau berjaya melangkah lebih jauh dengan meneroka bidang baharu yang sangat unik dan bernilai — iaitu sebagai seorang Food Replica Maker atau Artisan Makanan Replika. Kini, beliau menghasilkan model makanan tiruan (mock food) yang kelihatan sangat realistik untuk kegunaan pameran di kafe, restoran, serta gerai makanan tempatan.
Sentuhan seni beliau bukan sahaja menarik perhatian pelanggan tetapi juga membantu ramai pengusaha makanan menjadikan visual produk mereka lebih menarik dan meyakinkan. Tempahan datang dari pelbagai pihak termasuk pemilik kedai makan yang ingin menghias ruang niaga dengan replika hidangan mereka.
Kejayaan Puan Suzila adalah bukti nyata bahawa pendedahan kepada ilmu yang betul, disertai dengan bimbingan berterusan dan keberanian untuk mencuba, mampu membuka peluang baharu dalam dunia keusahawanan kreatif. NADI Pekan Ijok berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan transformasi beliau.