Seawal usia 11 tahun, Muhammad Rayyan Tsaqif bin Mohamad Azizi, pelajar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, telah menunjukkan potensi yang luar biasa dalam bidang teknologi apabila menyertai Program Tiny Techies 2025 di NADI Pekan Ijok.
Program ini memberi peluang kepada pelajar sepertinya untuk merasai pengalaman pembelajaran berasaskan STEM secara langsung – satu pendekatan yang membuka ruang kepada kreativiti, inovasi dan penerokaan ilmu secara aktif. Sebelum ini, Rayyan lebih banyak menggunakan internet untuk hiburan semata-mata. Namun selepas mengikuti program ini, beliau mula menunjukkan minat mendalam dalam bidang robotik dan teknologi pintar.
Perubahan ini mencerminkan betapa pentingnya pendedahan awal dalam membina minat dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Rayyan kini bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi mula berfikir sebagai pencipta dan penyelesai masalah masa hadapan.
Kisah Rayyan membuktikan bahawa apabila diberi ruang, sokongan dan inspirasi yang betul, anak-anak kita mampu melangkah jauh dan menyumbang dalam pembangunan negara melalui bidang sains dan teknologi.